Negeri Sabah
mempunyai tidak kurang dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah
negeri yang kaya dengan tarian kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan
seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei
setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang
dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.
Penduduk Sabah terdiri
daripada pelbagai suku kaum. Etnik terbesar di Sabah adalah Kadazan
Dusun, Bajau dan Murut. Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya,
Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai,
Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Perbezaan di antara
berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi
bahasa, ugama, adat istiadat dan pegangan hidup termasuklah pakaian
tradisi mereka.
Kaum Kadazan
Dusun merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan
berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan
dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Terdapat 27
suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu,
Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun,
Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Kadazan Dusun membentuk 30
peratus populasi Sabah yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan
Dusun digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan budaya yang
serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan lembah dan
secara tradisi terlibat dalam penanaman padi, sementara etnik Dusun
tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.
Kumpulan etnik
kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk
negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut
(Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah
meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka
pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat
pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan
sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau mendiami kawasan Semporna
dan Kota Belud. Kaum lelaki dalam kalangan masyarakat ini terkenal
sebagai penunggang kuda yang mahir.
Adat resam
kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung
terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan
melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana
kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.
Kaum Murut merupakan etnik
ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi tiga peratus populasi penduduk
negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan pedalaman di utara
Borneo.
Mereka juga
adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini,
mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan
menangkap ikan. Kebanyakan kaum pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka
turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.
Rungus juga di kenali
sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan
pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke
Beluran dan juga kepulauan sekitar Kudat. Kebanyakan suku kaum
Momogun Rungus adalah menganut agama Kristian.
Iranun atau Illanun ialah
nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah.
Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial
yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang
berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.
Mereka merupakan pelayar
yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi
pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam daerah. Masyarakat
Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud seperti di kampung Pantai Emas,
Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan
lain-lain.
Idaan adalah etnik
yang menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur
Sabah. Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 , etnik ini
memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam
gua batu kapur di kawasan penempatan mereka. Sebahagian besarnya
adalah muslim, tetapi sebahagian kecil suku kaum yang dikenali sebagai Begaak
adalah animist.
Selama beberapa abad etnik
Idaan telah memiliki mekanisme sosial berasaskan sejarah. Sebagai etnik
minoriti, Idaan beroperasi sebagai kumpulan korporat berkait rapat berkaitan
dengan aktiviti menuai sarang burung layang-layang.
Bisaya dikatakan di antara
yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan Islam
dalam kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari
tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak
pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.
Bangsa Bisaya adalah
suku kaum asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak
beribu tahun yang lalu. Kemahiran suku kaum ini dalah dalam bidang pertanian.
Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan. Selain
itu mereka juga menternak ayam, itik, angsa, lembu dan lain-lain binatang
sebagai makanan.
Kaum Bisaya juga mahir dalam
seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam
kehidupan seharian mereka selain mahirr menangkap ikan.
Sulu berasal daripada
Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk
ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang
dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik
dan tersendiri.
Pusat petempatan bagi orang
Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota
Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok. Orang Suluk tidak memanggil diri
mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang membawa maksud
"Orang dari Sulu".
Suku kaum Tidung adalah
suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu
sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu
dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung
Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa
kawasan di Sandakan seperti di Beluran.
Mereka adalah etnik Muslim
dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain
di sekitarnya seperti masyarakat Bolongan (Tanjung Selor), masyarakat Banjar (
Banjarmasin), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni.
Masyarakat pelbagai etnik
dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling bantu membantu
antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah.
Masyarakatnya hidup dalam keadaan kepelbagaian budaya dan
menarik perhatian ramai pelancong luar ke negeri ini.