Monday, 7 January 2013

SUKU KAUM DI SABAH





Negeri Sabah mempunyai tidak kurang  dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah  negeri yang kaya dengan tarian  kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum.  Etnik terbesar  di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.  Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.
Kaum Kadazan Dusun  merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi Sabah  yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun  digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan  budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan  lembah dan secara tradisi terlibat dalam   penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau  mendiami  kawasan Semporna dan Kota Belud.  Kaum lelaki dalam kalangan  masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.
Adat resam kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.
Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi  tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan  pedalaman di utara Borneo.
Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum  pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik. 
Rungus juga di kenali sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke Beluran dan juga kepulauan sekitar  Kudat.  Kebanyakan suku kaum Momogun Rungus adalah  menganut agama Kristian.
Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang  berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.
Mereka merupakan pelayar yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam daerah. Masyarakat Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud seperti di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain.
Idaan adalah  etnik yang  menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur Sabah.  Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 ,  etnik ini memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam gua batu kapur  di kawasan penempatan  mereka. Sebahagian besarnya adalah muslim, tetapi sebahagian kecil suku kaum yang dikenali sebagai Begaak adalah  animist.
Selama beberapa abad etnik Idaan telah memiliki mekanisme sosial berasaskan  sejarah. Sebagai etnik minoriti, Idaan beroperasi sebagai kumpulan korporat berkait rapat berkaitan dengan aktiviti menuai sarang burung layang-layang.
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan  Islam dalam  kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.
Bangsa Bisaya adalah suku  kaum  asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak beribu tahun yang lalu. Kemahiran suku kaum ini dalah dalam bidang pertanian. Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan.  Selain itu mereka juga menternak ayam, itik, angsa,  lembu dan lain-lain binatang sebagai makanan.
Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam kehidupan seharian mereka  selain mahirr menangkap ikan.
Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. 
Pusat petempatan bagi orang Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok. Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang  membawa maksud "Orang dari Sulu".
Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran.
Mereka adalah etnik Muslim dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain di sekitarnya seperti masyarakat Bolongan (Tanjung Selor), masyarakat Banjar ( Banjarmasin), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni.
Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling  bantu membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah. Masyarakatnya hidup dalam  keadaan  kepelbagaian  budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar  ke negeri ini.