Asal-usul nama ‘Sabah’
dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai
'''pisang saba''' iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH
" atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat
pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah
sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh
masyarakat Bajau di negeri tersebut.
Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.
Nama 'Sabah' pertama
kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara
Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina.
Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan
Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi. Dalam peta Portugis Melaka
1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.
Setelah negeri Sabah
diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar
kepada Borneo Utara secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama
'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 ketika pembentukan Malaysia.
Catatan puisi Jawa
Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah
sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Borneo,
Sabah ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada
Brunei.
Pada amnya keadaan
negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang sehingga tahun 1960-an apabila
wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti yang dicapai oleh
negara lain telah sampai ke Borneo Utara. Penyebaran semangat ini bermula
dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul
Rahman pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang
terdiri daripada Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura.
Malaysia telah wujud
dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara
telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah
membentuk pentadbiran peralihan sementara bagi bergabung dengan Persekutuan
Malaysia. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa Sabah telah menjadi
sebuah negara mahupun merdeka secara hakiki, berikutan ketiadaan pengiktirafan
daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada tahun 1965, Singapura keluar
daripada Persekutuan Malaysia.
Penglibatan negeri
Sabah dalam Persekutuan ini banyak membawa perubahan dari aspek pentadbiran,
politik, sosial dan sebagainya. Sabah terus mengalami pembangunan yang pesat
dan seterusnya memasuki era baru yang lagi mencabar sebagai sebuah negeri dalam
Persekutuan Malaysia.
Ruj:
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Sabah