Tuesday, 25 December 2012

SEJARAH NEGERI SABAH








Asal-usul nama ‘Sabah’ dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai '''pisang saba''' iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau  di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.


Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.


Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada Borneo Utara secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 ketika pembentukan Malaysia.


Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.


Pada amnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo Utara. Penyebaran semangat ini bermula dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura.


Malaysia telah wujud dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah membentuk pentadbiran peralihan sementara bagi bergabung dengan Persekutuan Malaysia. Walaubagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa Sabah telah menjadi sebuah negara mahupun merdeka secara hakiki, berikutan ketiadaan pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada tahun 1965, Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia.


Penglibatan negeri Sabah dalam Persekutuan ini banyak membawa perubahan dari aspek pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya. Sabah terus mengalami pembangunan yang pesat dan seterusnya memasuki era baru yang lagi mencabar sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.








Ruj: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Sabah





No comments:

Post a Comment